Saturday, February 14, 2009

NEGARA MEMBANGUN PATUT TUBUH INSTITUSI KEWANGAN SENDIRI

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) - Perkumpulan antarabangsa negara-engara Dunia Ketiga patut menubuhkan institusi kewangan khas untuk memenuhi keperluan anggotanya, kata Duta Besar Venezuela ke Malaysia Manuel Guzman hari ini.

Beliau berkata penubuhan institusi itu adalah relevan dan tepat pada masanya berikutan keadaan kemeseletan global sekarang yang menyaksikan ekonomi kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Britain runtuh.

"Kita perlu bekerjasama untuk mencari penyelesaian terhadap masalah ini, Saya percaya kita, negara yang dikira sebagai Dunia Ketiga, patut menubuhkan institusi kewangan sendiri yang dapat menjaga kepentingan dan keperluan negara-negara membangun," katanya dalam temu bual dengan Bernama di Wisma Bernama di sini.

Mengambil contoh kejayaan Rangkaian Berita NAM (NNN), Guzman berkata negara anggota kerjasama Selatan-Selatan boleh mengumpulkan sumber dan kepakaran mereka untuk menubuhkan institusi itu, yang untuk jangka panjang dapat mengurangkan pergantungan kepada institusi global seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

NNN ditubuhkan pada 2006 untuk menangani laporan berita berat sebelah mengenai negara membangun oleh media terkemuka dunia, yang sebahagian besarnya dimiliki negara maju.

Malaysia dan Venezuela ialah anggota Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan G-15 di bawah kerangka kerjasama Selatan-Selatan.

"Negara Dunia Ketiga mempunyai masalah berbeza daripada negara maju. Jadi hanya kita yang faham masalah kita dan dapat mencari penyelesaian sesuai terhadap masalah itu," kata Guzman. – BERNAMA

baca lagi :http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=389694

No comments:

Post a Comment